Ahad, 17 Mac 2013

JANGAN CEPAT MENGHUKUM...

Teringat satu ketika dahulu semasa saya masih lagi seorang remaja yang semakin meningkat dewasa (lepasan SPM, berumur 18 tahun).

Setelah berpenat mencari buku-buku agama di beberapa toko buku di KL, saya singgah di salah sebuah masjid untuk bersolat asar. Selepas solat, saya berehat di masjid tersebut sambil memerhatikan ahli jamaah yang sedang bersiap-siap untuk meneruskan agenda masing-masing.

Entah kenapa pemerhatian saya tertumpu kepada seorang ‘pak cik’ yang berumur lebih kurang 40′an yang sedang menukar jubahnya. Saya agak terkejut apabila melihat tatoo yang jelas kelihatan di beberapa tempat di badan dan lengan pak cik yang sebelum ini berjubah.

Tanpa soal panjang, saya terus menegur ‘pak cik’ yang bertatoo ini dan mengatakan bahawa dia tidak boleh berbuat demikian (haram). Air mukanya berubah lalu berkata dengan suara yang marah,”Kalaulah aku belum bertaubat, engkau juga aku akan bunuh !”.

Saya terus berundur perlahan-lahan dengan rasa kesal dan ketakutan. Risau juga kalau saya di’belasah’ oleh beliau.

Dia berkata lagi,”Cuba kau baca akhbar utusan dan berita harian pada tarikh sekian-sekian haribulan….tahun sekian”. Aku telah disabitkan kesalahan membunuh dan dihukum penjara seumur hidup ! Aku baru dibebaskan setelah 15 tahun dalam penjara dan sekarang aku telah bertaubat. Kau janganlah buat aku marah ! Nak buang tatoo ni bukan mudah tau. kau jangan cepat menghukum aku….!” katanya lagi.

Baru saya sedari bahawa beliau adalah bekas banduan yang pernah membunuh kerana terjebak dengan jenayah besar. Namun kini beliau kini telah bertaubat.

Saya terus memohon maaf kerana menegurnya tanpa usul periksa. Saya bersalam dengannya dan dengan rasa kesal beredar perlahan-lahan daripada masjid tersebut sambil bermuhasabah diri.

Pengajarannya :

Elok periksa dulu atau kenali masalah sebenar sebelum ‘menegur’ apatah lagi untuk ‘membantai’ orang lain dengan kesalahan dan kelemahan yang kita perhatikan.

SUMBER: http://zainurrashid.com/

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"