Jumaat, 26 Oktober 2012

SALAM IDUL ADHA 1433H

Alhamdulillah, tahun ini diberi ruang dan masa oleh Allah untuk meraikan Eidul Adha di kampung halaman sendiri setelah bertahun menyambutnya di rantau orang.

Salam Eidul Adha saya ucapkan buat semua, diiringi dengan doa dan harapan agar kita semua sentiasa bermuhasabah diri...apakah kita sudah cukup berkorban melawan kehendak hawa nafsu demi mentaqarrubkan diri kita kepada-Nya. 

Taqabbalallahu minna wa minkum ya Kareem.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Sabtu, 6 Oktober 2012

2. Anakku Hidup Sekali Biar Bererti: Nasihat Iman dan Wasiat -Anuwar Nursi-


KEHIDUPAN ini tidak selamanya berjalan seperti yang kita harapkan. Sekali kita mujur, sekali kita kecewa, sekali kita rehat dan sekali kita bekerja.

Seorang pemuda, seorang penuntut ilmu dan seorang remaja juga mengalami hal yang sama. Malah semua orang juga sama. Seseorang sentiasa memerlukan nasihat dan bimbingan, baik di kala menemui kesulitan mahupun ketika dibelenggu persoalan.

Jika situasi anakanda juga demikian, mintalah nasihat daripada mereka yang berpengalaman terutama ulama yang mendalam ilmunya atau mentelaah buku-buku tulisan mereka. Di situ anakanda boleh boleh memetik mutiara-mutiara ilmu dan mengamalkannya.

Ayahanda juga bekalkan mutiara nasihat buat tatapan anakanda. Mudah-mudahan dapat menjadi panduan untuk hari-hari mendatang:
•    Badiuzzaman Said Nursi berkata, “Orang yang mengenal dan taat kepada ALLAH ia akan bahagia meskipun berada dalam penjara. Orang yang tidak mengenal-NYA akan sengsara meskipun berada dalam istana.”
•    Dalam kitab ‘Ayyuhal Walad’ Imam Al-Ghazali Rahimahullah berkata, “Wahai anakku yang tercinta, engkau juga bertanya tentang ikhlas, maka ikhlas itu ialah engkau menjadikan segala amalan hanya untuk ALLAH Taala dan hatimu tidak merasa senang dengan pujian manusia dan dirimu juga tidak peduli dengan kecaman mereka.”
•    Syeikh Sya’rawi Rahimahullah berkata, “ALLAH menciptakan manusia agar beriman atau kufur kerana DIA ingin kita datang kepada-NYA dengan kecintaan bukan terpaksa. Maka ALLAH menginginkan hati yang khusyuk bukan jasmani yang tunduk.”
•    Sayyid Qutb berkata, “Kehidupan materialisma yang menggugat dunia diumpamakan seperti kagumnya anak-anak kecil terhadap pakaian berlukis dan mainan berwarna-warni.”
Jangan Suka Menunda

Imam Ibnu ‘Athaillah As-Sakandari adalah anak murid kepada Al-Imam Abul Abbas Al-Marsy. Beliau mempelajari ilmu tasawuf seperti yang diajarkan oleh Al-Imam Abul Hasan Al-Syaziliy. Beliau juga seorang wali ALLAH, seorang alim besar dan juga tergolong  dalam barisan sasterawan Arab yang ternama. Beliau berkata, “Penundaanmu terhadap amal hingga ada waktu luang termasuk kebodohan jiwa.” Ini adalah masalah yang penting dan kita merasakannya.

Jika ditanya kepada seseorang, “Apakah engkau menelaah kitab?”

Dia akan menjawab, “Tidak ada waktu terluang tapi jika ada kesempatan, insya-ALLAH aku akan menelaah.”

Jika engkau bertanya, “Apakah engkau berwirid?”

Spontan ia menjawab, “Tidak ada kesempatan...”

Inilah situasi hari ini...

Ramai orang menunda amalan sehingga ada waktu lapang untuk dilaksanakan. Sedangkan tabiat manusia hari ini sentiasa berada dalam kesibukan. Oleh itu, barang siapa yang menangguhkan amal ukhrawi dan menunggu sehingga waktu lapang, maka dia tidak akan dapat melakukannya.

Maka, ambillah pengajaran daripada situasi tadi agar dirimu tidak lalai dan leka serta bersegera melakukan amalan ukhrawi (berzikir, membaca al-Quran, qiamullail, menuntut ilmu dan lain-lain. Lakukanlah sekarang. Aturlah jadual harian dan sisihkan sedikit masa untuk amalan akhirat. Sesungguhnya, memelihara waktu juga sebahagian daripada sunah Rasulullah s.a.w dan para sahabat.

Daripada Aisyah r.a, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, amal yang paling dicintai Rasulullah s.a.w adalah amal yang terus-menerus dilakukan oleh orang yang melaksanakannya. Keluarga Muhammad itu, apabila melakukan suatu amal, maka mereka sentiasa menekuninya. - Takhrij as-Sittah

Untuk melaksanakannya tidak memerlukan masa tertentu. Misalnya ketika melakukan tugasan rutin, jadikan tabiat membaca zikir dan wirid tertentu. Ketika waktu rehat, isikan pula rohani dengan bacaan kalamullah.

Tidak mengapa jika tidak banyak tetapi biarlah berterusan. Di samping menata amalan-amalan wajib yang lain. Seharusnya kita perlu mempunyai tradisi tertentu yang sesuai dengan keperluan hati dan kehidupan. Paling penting tidak membebankan diri.

ALLAH tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. - Surah al-Baqarah: 286

Jika anakanda menemui seseorang yang culas dengan amalan-amalan akhirat dan jika dia berkata tiada kesempatan untuk melaksanakannya, maka itulah petanda daripada kebodohan jiwanya yang tidak terdidik.108 Mahukah anakanda menjadi sepertinya?

Enam Pandangan Apabila Ditimpa Sesuatu yang Tidak Diingini

Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah, pengarang ‘Zadul Ma’ad’ dan ‘Tibbun Nabawi’ yang masyhur menulis, ada enam pandangan yang muncul terhadap seorang hamba jika ditimpa sesuatu yang tidak diingini, sebagaimana berikut:
•    Pandangan tentang tauhid. Iaitu apa yang dikehendaki ALLAH pasti berlaku dan apa yang tidak DIA kehendaki pasti tidak akan menimpa.
•    Pandangan tentang keadilan. Bahawa hukum-hukum-NYA pasti terlaksana dan keputusan-NYA adalah adil.
•    Pandangan tentang rahmat. Iaitu rahmat ALLAH pada ketetapan-NYA itu lebih besar daripada murka dan kebencian-NYA.
•    Pandangan tentang hikmah. Iaitu hikmah kebijaksanaan ALLAH menuntut sesuatu hal dan DIA tidak menetapkan dan mentakdirkannya dalam keadaan sia-sia.
•    Pandangan tentang tahmid (pujian). Iaitu bagi ALLAH segenap pujian yang sempurna atas ketetapan-NYA itu.
•    Pandangan tentang ubudiyah. Iaitu hamba yang diberi cubaan adalah ketetapan daripada-NYA. Sebagaimana ketetapan hukum syariat yang tidak boleh dilanggari.
Orang yang Berpegang kepada Tauhid Tidak Takut Terhadap Sesuatu pun

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menulis di dalam kitabnya ‘Haqiqatuttauhid’, “Berpegang dengan tauhid dan akidah yang teguh menjadikan roh menjadi semakin kuat. Ini kerana jiwanya telah diisi dengan pergantungan kepada ALLAH, diisi dengan kepercayaan dan tawakal kepada-NYA, rela dengan qadak dan sabar dengan ujian-NYA.

Akidah yang kuat memberi ketenangan dan kedamaian ke dalam jiwa manusia yang beriman. Jiwa itu tidak akan dimasuki oleh tindakan sewenang-wenangnya. Ia menutup pintu ketakutan yang telah dibuka oleh manusia itu sendiri.

Takut tentang rezeki, takut terhadap ajal, takut terhadap diri sendiri, keluarga dan anak, takutkan manusia lain, takut kepada jin, takutkan kematian dan takut daripada kebangkitan setelah kematian. Orang mukmin yang bertauhid dan mempunyai akidah yang kuat tidak akan berasa takut kepada siapapun, kecuali kepada ALLAH.”109

Hasrat Hawa Nafsu dan Maksiat Tidak Boleh Diatasi Dengan Kata-Kata Sahaja

Dalam buku yang berjudul ‘Tarbiyatuna Ar-Ruhiyyah’, Syeikh Said Hawwa’ menyatakan, “Pelbagai jenis ibadat dan pendekatan diri kepada ALLAH mengandungi hikmah tertentu, dan dengan hikmah itulah kehidupan manusia menjadi baik. Setiap keadaan rohani yang sakit tentulah ada penawarnya dan setiap rohani yang sihat memiliki jalan dan banyak faktor yang mendokong.

Kederhakaan, keinginan hawa nafsu dan maksiat tidak cukup diatasi dengan kata-kata sahaja tetapi harus dengan ilmu, amal atau tindakan, keimanan, takwa, tunduk, warak dan suasana kalbu yang meresap kepada ALLAH. Semua ini ada dalam pelajaran tazkiyatun nafsi atau penyucian jiwa. Juga disebut sebagai pelajaran tasawuf.”

Amal soleh, perlaksanaan ibadat dan ajaran Islam itu mempengaruhi kepada bercahayanya kalbu. Selain itu, iman juga akan bertambah dan grafnya amat sukar untuk turun. Sehingga akhirnya hati kita mampu mencapai tahap ihsan. Lakukanlah tanpa henti.

Hakikatnya ubudiyah kita kepada ALLAH akan menghasilkan iman yang mantap, kukuh serta sentiasa berakar di dalam hati. ALLAH S.W.T mensyariatkan kewajipan yang pelbagai kepada hamba-NYA untuk mereka beramal.

Ini kerana hati manusia  memerlukan kurnia spiritual yang banyak. Fitrahnya, manusia itu musuh syaitan. Maka dengan amal solehlah menjadi benteng untuk mempertahankan diri daripadanya. Laksanakanlah ia. Buang jauh-jauh perasaan malasmu itu. Sesungguhnya hanya orang yang berusaha yang memperolehi hasilnya. Biar kita rugi di sini, jangan pula muflis di akhirat kelak.

 SUMBER: Anakku Hidup Sekali Biar Bererti: Nasihat Iman dan WasiatAnuwar Nursi



"Hidup Ini Indah jika Segalanya kerana ALLAH"